MEI 2023

Kontraktor Penyelamat Mampu Siap Projek Jambatan Marudi Ikut Jadual


MARUDI: Projek Jambatan Marudi (merintangi Sungai Baram) yang dahulu dikatogarikan sebagai projek sakit kini siap dua peratus daripada jadual asal.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek itu berjalan lancar selepas kerajaan memutus untuk menamatkan kontraktor asalnya dan melantik kontraktor penyelamat.

Kontraktor penyelamat Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd. komited untuk menyiapkan projek bernilai RM116.5 juta itu dalam tempoh dua tahun sejurus mengambilalih pembinaan pada Oktober 2022, katanya semasa meninjau perkembangan pembinaan jambatan itu di sini semalam.

“Syarikat terbabit turut memberi jaminan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual semasa melawat Marudi baru-baru ini,” tegas beliau.

Syarikat itu turut berjanji kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil untuk menyiapkan projek itu mengikut jadual, kata Uggah dan menzahirkan rasa keyakinan syarikat itu mampu menyiapknya lebih awal daripada jadual.

Beliau berkata, syarikat berkenaan bersungguh-sungguh untuk menyiapkan jambatan sepanjuang 650 meter dua lorong itu menjelang Oktober 2025.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya, projek pembinaan jambatan itu siap dua peratus atau 12 hari daripada jadual dan keputusan kerajaan untuk melantik kontraktor penyelamat adalah tepat,” tegas beliau.

Uggah yang ditemani Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi dan Dr. Penguang menggesa kontraktornya supaya mengambil kesempatan daripada keadaan cuaca panas sekarang bagi meneruskan kerja pembinaannya.

Sumber dari : Jiwa Bakti